"dan sesiapa yang melakukan suatu kesalahan atau suatu dosa, kemudian ia menuduhnya kepada orang yang tidak bersalah, maka sesungguhnya ia telah memikul kesalahan berbuat dusta dan melakukan dosa yang amat nyata..." --- Surah An Nissa' (ayat 112)

SUARA DARI LANGIT ???

Suara dari langit

SEREMBAN: “Saya menerima arahan untuk melakukannya. Saya diarahkan suara dari langit,” kata seorang bekas pegawai bank yang mengaku bersalah atas tuduhan membunuh empat ahli keluarganya di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Rasidi Ismail, 32, berkata demikian ketika menjawab soalan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin.

Tertuduh menghadapi tuduhan membunuh adiknya, Siti Khadijah, 22, di No 119, Kampung Batang Rokan, Gemencheh, antara jam 7 pagi hingga 11 pagi pada 5 Januari lalu.

Rasidi yang mengaku memahami pertuduhan itu turut mengaku membunuh bapanya, Ismail Awang, 76; nenek, Sufiah Katas, 80 dan datuk, Atan Daud, 87, di rumah tidak bernombor di kampung sama antara jam 7 pagi hingga 11 pagi pada hari sama.

Ahmad Nasfy menjelaskan kepada Rasidi hukuman yang boleh dijatuhkan ke atasnya akibat pengakuan bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mahkamah sudah melantik peguam bela, Hanif Hassan yang akan mewakilinya.

“Mahkamah melantik peguam bela mewakili kamu dalam sebutan semula kes ini. Saya ingin menjelaskan hukuman bagi kesalahan membunuh ialah gantung. Sekarang, mahkamah mahu mengetahui mengapa kamu mengaku bersalah?“ katanya.

Rasidi menjawab: “Saya menerima arahan melakukannya. Saya diarahkan suara dari langit,” katanya.

Ahmad Nasfy berkata, mahkamah boleh menggunakan Seksyen 342 (1) Kanun Acara Jenayah membolehkan majistret, hakim, dan pendakwa raya memohon siasatan bagi menentukan sama ada tertuduh cukup sihat untuk dibicarakan.

Hanif bangun dan meminta pengakuan tertuduh sebelum itu ditolak dan tidak direkodkan. Beliau meminta mahkamah mengarahkan penilaian psikiatri terhadap tertuduh mengikut Seksyen 342 (3) Kanun Acara Jenayah.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shahruddin Wan Ladin, berkata syarat itu bertujuan memastikan tertuduh cukup sihat mengaku bersalah serta mengikut prosiding mahkamah dan dia perlu dihantar pemerhatian satu pasukan psikiatri untuk tempoh 30 hari.

Ahmad Nasfy berkata selepas mendengar sebab awal tertuduh mengaku bersalah, beliau mempunyai sebab mempercayai Rasidi ketika ini tidak cukup sihat mengikuti perbicaraan.

“Mahkamah mengarahkan tertuduh dihantar pemerhatian psikiatri di hospital mental selama sebulan,” katanya.

Beliau menetapkan sebutan semula kes itu pada 22 April depan.

Ahli keluarga tertuduh termasuk ibu, Saharah Atan, 59, hadir mahkamah, semalam. - Mymetro

0 comments:

Post a Comment