"dan sesiapa yang melakukan suatu kesalahan atau suatu dosa, kemudian ia menuduhnya kepada orang yang tidak bersalah, maka sesungguhnya ia telah memikul kesalahan berbuat dusta dan melakukan dosa yang amat nyata..." --- Surah An Nissa' (ayat 112)

PM & DSAI BERKONGSI SECANGKIR TEH....


RABU: 18 November 2009

KENIKMATAN SECANGKIR TEH DI KONGSI BERSAMA....



Peristiwa ini dirakamkan oleh wartawan Utusan Malaysia kelmarin apabila PM, Datuk Seri Najib Tun Razak meluangkan masa bertemu ahli-ahli Parlimen termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Minum teh bersama di antara pemimpin BN dan PR di Parlimen bukan perkara luar biasa. Jika kita rajin ke kantin Parlimen, sering kelihatan wakil-wakil rakyat kedua-dua pihak berborak rancak di kantin sambil meneguk minuman ringan. Yang seronoknya baru sebentar tadi di dalam Dewan Rakyat mereka bertekak dan meninggikan suara, tetapi di kantin mereka kembali mesra sambil senyum dan ketawa. Begitulah gelagat pemimpin-pemimpin kita yang ada ketikanya kelihatan begitu profesional dan dapat melupakan batas tugas dan peribadi. Di dalam Dewan mereka perlu berdebat dan bertengkar kerana itulah tugas wakil rakyat, tetapi di kantin, kawan tetap kawan, boleh berkongsi cangkir teh dan kopi yang sama.

Cuma yang sangat jarang atau sukar dilihat ialah apabila pemimpin atasan kita mengadakan jamuan sama ada jamuan kahwin, jamuan raya dan sebagainya, pihak yang satu lagi turut hadir. Alangkah baiknya jika majlis terbuka hari raya PM dan menteri-menteri kabinet tahun hadapan turut dihadiri oleh Ketua Pembangkang dan pemimpin-pemimpin PR, manakala majlis terbuka hari raya Ketua Pembangkang dan pemimpin PR turut dihadiri oleh PM dan pemimpin-pemimpin BN.

Politik tetap politik, bergasak tetap bergasak, tapi sebagai manusia yang menjunjung profesionalisme, nilai persahabatan perlu dikekalkan. Jangan lupa dalam keadaan apa pun, kita masih berkongsi menghirup oksigen yang sama di dunia yang dipinjamkan cuma seketika ini.

0 comments:

Post a Comment